Sunday, August 23, 2009

[paksa.untuk.berubah!].pahrolmohdjuoi.

bismillah wa barakatillah~

Orang yang berjaya ialah mereka yang memaksa dirinya untuk berubah. Manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa. Tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Inilah peraturan alam yang telah Allah tetapkan. Untuk berjaya dalam bidang pelajaran misalnya, adik-adik perlu menumpukan perhatian dalam kelas, mengulangkaji pelajaran berkali-kali, bercekang mata untuk membuat latihan dan akhir sekali terpaksa menduduki peperiksaan dengan penuh debaran. Semuanya seakan menyiksakan. Apa tidaknya, adik terpaksa mengorbankan masa bermain, menonton talivisyen dan adakalanya masa tidur juga. Namun semua itu terpaksa ditempuh. Kita terpaksa melakukannya walaupun hati kita mungkin tidak suka. Kata pepatah, kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya. Demi kejayaan masa depan, kita sanggup bersusah-paya pada masa ini. Kata orang, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Walaupun hati bagai ditarik-tarik untuk bermain, kita paksa untuk menghabiskan kerja dan latihan pelajaran yang diberikan. Walaupun, ada rancangan tv yang diminati, tetapi kerana esok hari peperiksaan kita rela tidak menontonnya. Itulah sifat orang yang berjaya. Orang yang memaksa dirinya berubah. Sebaliknya pula terjadi bagi orang yang gagal. Mereka tidak suka memaksa diri. Mereka suka manjakan diri. Mereka sentiasa mengutamakan apa yang mereka suka buat walaupun itu tidak perlu. Mereka suka bermain, walaupun pada ketika itu mereka perlu belajar. Mereka suka senang, santai dan melepak tanpa tujuan yang pasti. Setiap yang dilakukan pasti ada akibat atau hasilnya. Orang yang melakukan perkara yang baik, akan mendapat kebaikan. Mereka yang memaksa diri untuk melakukan perkara-perkara yang sukar, tidak disukai dan mencabar akhirnya meraih kejayaan besar dalam hidup. Mereka yang memaksa diri untuk belajar, akhirnya mendapat keputusan yang cemerlang. Mereka yang memaksa diri berkebun, akan mendapat menuai buah. Mereka yang rajin berlatih, akan muncul sebagai juara. Sebaliknya, orang yang malas, akan gagal. Orang yang culas, akan kecundang. Bila mereka gagal, maka terpaksalah mereka bertungkus-lumus memperbaiki semula apa yang telah mereka hilang. Pelajar yang gagal terpaksa mengulang lagi. Kali ini dengan lebih sukar dan mencabar. Oleh kerana dulunya mereka tidak memaksa diri untuk berusaha, sekarang mereka berusaha secara terpaksa. Ingat, tiada kesusahan tiada ganjaran!

No comments:

Post a Comment